HIBURAN

Ozzy Osbourne meninggal dunia pada usia 76 tahun

LONDON – Dunia muzik dikejutkan dengan pemergian legenda rock, Ozzy Osbourne, yang meninggal dunia pagi Isnin pada usia 76 tahun.

Perkara itu disahkan keluarganya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Dengan kesedihan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kami memaklumkan bahawa Ozzy Osbourne telah meninggal dunia pagi ini. Beliau pergi dengan tenang, dikelilingi ahli keluarga dan penuh kasih sayang.

“Kami memohon semua pihak menghormati privasi keluarga ketika melalui detik sukar ini,” kata kenyataan tersebut seperti dilaporkan BBC.

Tiada punca kematian didedahkan setakat ini.

Pemergian ikon muzik heavy metal itu berlaku hanya beberapa minggu selepas beliau membuat persembahan terakhir sempena konsert persaraan bertajuk Back To The Beginning di Villa Park, Birmingham pada 5 Julai lalu.

Konsert berkenaan menyaksikan beliau tampil dengan empat lagu solo sebelum disertai tiga lagi pengasas asal kumpulan Black Sabbath iaitu Tony Iommi (gitar), Geezer Butler (bes) dan Bill Ward (dram) untuk lima lagu khas.

Antara barisan artis ternama yang turut serta pada konsert tersebut termasuk Metallica, Guns N’ Roses, Anthrax dan Slayer. Hasil kutipan disalurkan kepada badan amal di Birmingham dan rakaman konsert itu bakal ditayangkan di pawagam tahun hadapan.

Osbourne yang digelar ‘Prince of Darkness’ merupakan pengasas kumpulan Black Sabbath pada 1968 dan menghasilkan lapan album bersama kumpulan itu sebelum memulakan kerjaya solo pada 1979.

Album solo pertamanya, Blizzard Of Ozz yang diterbitkan pada 1980 menerima sambutan hangat dan terus mengukuhkan namanya dalam dunia muzik rock dan heavy metal.

Beliau kembali bersama Black Sabbath dari 1997 hingga 2006 dan sekali lagi dari 2011 hingga 2017.

Osbourne meninggalkan seorang isteri yang juga pengurusnya, Sharon, serta enam orang anak hasil perkahwinan mereka sejak 1982.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button