BERITA SEMASA

Dakwaan campur tangan AS: SEKPUR mahu PDRM siasat pendedahan Hadi

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung cubaan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam politik negara pada tahun 2014.

Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor berkata, pihaknya telah membuat laporan polis susulan kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa berlaku pertemuan melibatkan pemimpin Pas dan wakil Kedutaan AS ketika lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia.

Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan soal kedaulatan negara dan kemungkinan campur tangan pihak asing dalam urusan politik Malaysia.

“Kami terkejut apabila perkara yang didakwa berlaku pada tahun 2014 hanya didedahkan sekarang. Jika benar ada usaha pihak asing untuk mempengaruhi atau menjatuhkan kerajaan yang sah ketika itu, ia merupakan perkara yang sangat serius.

“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan sebarang bentuk campur tangan asing dalam politik negara perlu disiasat serta diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, individu yang membuat dakwaan tersebut perlu dipanggil bagi membantu siasatan supaya perkara sebenar dapat diperjelaskan kepada rakyat.

“Kita mahu tahu sama ada dakwaan itu benar atau tidak. Jika benar, sejauh mana campur tangan tersebut berlaku dan apakah implikasinya terhadap keselamatan negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun menyifatkan pendedahan yang dibuat Abdul Hadi sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana melibatkan dakwaan pertemuan dengan pihak Kedutaan AS yang didakwa menawarkan bantuan bagi menukar kerajaan ketika itu.

Menurutnya, sekiranya dakwaan tersebut benar, ia menunjukkan wujud cubaan campur tangan asing yang perlu disiasat secara terperinci oleh pihak berkuasa.

“Kami mahu polis menyiasat semua aspek yang berkaitan termasuk siapa yang terlibat, tujuan pertemuan itu diadakan dan sama ada terdapat sebarang bentuk bantuan atau tawaran yang diberikan.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran kerana perkara ini melibatkan kepentingan negara dan bukan sekadar isu politik,” katanya lagi.

Shahbudin turut menggesa Jabatan Peguam Negara meneliti sama ada terdapat unsur pelanggaran undang-undang yang boleh dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan juga perlu melihat sama ada terdapat sebarang bentuk hubungan atau bantuan daripada pihak luar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.

“Kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara profesional dan bebas. Apa yang penting ialah kebenaran dapat diketahui serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara dapat dipertahankan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan laporan polis yang dibuat telah dirujuk kepada unit siasatan jenayah serius untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button