SPRM siasat kelemahan tatakelola agensi, GLC susulan Laporan Ketua Audit Negara
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap kelemahan tatakelola serta kemungkinan berlaku salah laku dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) bagi mendapatkan maklumat terperinci termasuk dokumen sokongan untuk siasatan lanjut.
“SPRM sentiasa menyokong pendedahan yang dibuat Ketua Audit Negara dan akan meneliti laporan berkenaan secara menyeluruh.
“Tindakan susulan akan diambil terhadap sebarang isu yang mempunyai unsur kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan bukan terhad kepada isu kelemahan tatakelola sahaja,” katanya lagi.
Menurut SPRM, siasatan itu bertujuan memastikan sebarang dakwaan berkaitan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah dapat ditangani secara telus dan tegas demi memperkukuhkan tahap integriti pentadbiran awam.
Terdahulu, media melaporkan LKAN 2/2025 mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pelaksanaan program dan pengurusan dana kerajaan yang melibatkan agensi serta GLC.
Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kurang pemantauan, tiada penyelarasan antara agensi, ketiadaan pangkalan data lengkap serta kelemahan dalam dasar dan prosedur kerja.
Situasi itu menyebabkan projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual, mutu kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai pulangan sewajarnya daripada perbelanjaan yang dibuat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








