BERITA SEMASA

SPRM tidak tahan individu secara semberono – Abd Halim

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan setiap siasatan dan penahanan yang dijalankan tidak dibuat secara semberono, sebaliknya berdasarkan hasil siasatan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima sebelum tindakan lanjut diputuskan.

“Di peringkat SPRM, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti kertas siasatan lama yang tidak berkeputusan.

“Terdapat beberapa kertas siasatan yang dibuka dahulu dan sehingga hari ini tiada keputusan. Jadi, jawatankuasa ini akan menyaring dan meneliti semua kedudukan kertas siasatan itu,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil penelitian itu kemudiannya akan dibawa kepada jawatankuasa untuk dinilai bagi menentukan sama ada wajar dilakukan pertuduhan, siasatan lanjut atau sama ada bukti yang ada mencukupi dari sudut perundangan.

“Selepas perkara itu dilihat, mungkin akan timbul satu persatu isu,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Kenyataan itu susulan beberapa individu kenamaan yang disiasat berhubung pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Terbaharu, seorang bekas menteri ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berkaitan RCI itu, khususnya berhubung pelaburan pajakan hotel di Mekah dan Madinah.

Selain itu, pada 28 Ogos lalu, bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta, empat tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button