SPRM, USM meterai MoU perkasa agenda antirasuah dan integriti IPT
GEORGETOWN – Kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan memfokuskan kepada pembangunan kapasiti, latihan kepakaran bersama, pelaksanaan penyelidikan saintifik dan perkongsian data empirikal bagi menganalisis trend rasuah serta keberkesanan tadbir urus.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kolaborasi antara agensi penguatkuasaan dan IPT terkemuka negara itu membuka lembaran baharu dalam pembangunan modul akademik, kajian penyelidikan serta program kesedaran berimpak tinggi.
“SPRM melihat kerjasama ini sebagai platform terbaik untuk menyatukan kepakaran akademik dan kekuatan penguatkuasaan bagi melahirkan ekosistem organisasi yang telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Program Certified Professional in Integrity Assurance and Management (CPIAM) Tahun 2026 serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara USM dan SPRM di Dewan Persidangan Universiti, USM Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, MoU itu bukan sekadar simbolik jalinan kerjasama korporat, sebaliknya manifestasi dan komitmen jitu kedua-dua pihak dalam membina benteng pertahanan antirasuah yang lebih utuh.
Pada majlis MoU itu, SPRM diwakili Azmi dan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Ahmad Nizam Ismail manakala USM oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta Penasihat Undang-Undang USM, Datuk Dr. Khairul Anuar Che Azmi yang disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Dr. Hasliza Abdul Halim dan Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO), Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Datuk Dr. Azlan Amran; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, TPj Lim Bee Kean; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim dan Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff.
Azmi turut mengingatkan para graduan bahawa sijil profesional yang diraih merupakan amanah besar yang bertindak sebagai ‘senjata’ dan ‘perisai’ untuk memutus rantaian salah laku manakala usaha memerangi rasuah memerlukan pendekatan ‘Whole-of-Society’ yang melibatkan peranan aktif setiap institusi.
Sementara itu, Profesor Abdul Rahman berkata, program CPIAM berupaya membina dan memperkukuh integriti dalam sesebuah organisasi secara praktikal.
“Budaya integriti yang bermula di kampus mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang daripada sudut akademik, malah berani menolak rasuah. Teruskan usaha menyumbang kepada tadbir urus dan pembudayaan integriti di Malaysia,” katanya.
Pada majlis berkenaan, seramai 44 graduan menerima sijil profesional CPIAM 2026 dan program pensijilan siri ke-6 yang dibangunkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan USM dengan kerjasama ACeIO sejak 2023 yang menyaksikan lebih 150 profesional kompeten daripada agensi awam dan swasta seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








