JENAYAH & MAHKAMAH

Pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu subsidi upah Perkeso

GEORGETOWN – Pemilik syarikat kontraktor pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi dokumen pernyataan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkaitan tuntutan subsidi upah, pada 2022.

Tertuduh, Muhammad Ra’abilshah Samzali, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, lapor Harian Metr

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi kepada seorang ejen Perkeso selaku Perantis Bahagian Insurans Pekerjaan di Putrajaya, satu dokumen iaitu senarai nama pekerja bertajuk SIP Subsidi Upah Bersasar 5.0 bagi tuntutan insentif di bawah berkenaan.

Dokumen itu didakwa mengandungi penyataan palsu tentang butiran matan apabila senarai nama pekerja itu mengandungi pekerja yang bukan pekerja MRSJ Builders Sdn Bhd dan dimaksudkan bagi mengelirukan prinsipal dengan niat hendak memperdayakan prinsipal ejen berkenaan, sedangkan tertuduh mempunyai sebab bagi mempercayai dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu tentang butiran matan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat MRSJ Builders Sdn Bhd, Jalan Sungai Dua, Gelugor di sini, pada 14 Februari 2022.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau silap, jika butiran itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Nurnajihatul Idayu turut memohon pasport diserah kepada mahkamah, namun beliau difahamkan pasport tertuduh berada pada pihak mahkamah susulan dia didakwa atas tuduhan lain sebelum ini.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Arif Shaharuddin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya kini merupakan seorang peniaga dengan pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Dia perlu menanggung isteri dan tiga anak berusia antara setahun hingga lapan tahun.

“Tertuduh turut memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan selain hadir ke pejabat SPRM semalam bagi didakwa hari ini.

“Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan bahawa jaminan bukan berbentuk hukuman, sebaliknya hanya bagi memastikan kehadiran tertuduh,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwa.

Kes akan disebut semula pada 2 November depan.

Difahamkan jumlah tuntutan yang dibuat tertuduh bernilai RM275,400 membabitkan 163 pekerja.​

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button