Albert Tei tidak dilindungi kerana dia bukan pemberi maklumat – Azam Baki
PUTRAJAYA – Tindakan ahli perniagaan, Albert Tei tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, akta berkenaan tidak melindungi individu yang turut terbabit dalam salah laku jenayah.
“Masyarakat perlu faham bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bukan hanya untuk SPRM, ia terpakai kepada semua agensi penguat kuasa termasuk polis.
“Jika seseorang terbabit dalam jenayah, contohnya membantu satu pembunuhan, dia tidak boleh menuntut perlindungan pemberi maklumat hanya dengan pergi kepada polis dan meminta imuniti.
“Dalam kes ini, dia bukan pemberi maklumat dan oleh itu tidak dilindungi di bawah akta berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Albert Tei sebelum ini telah mendedahkan rakaman video perbualannya dengan beberapa ahli politik di Sabah yang didakwa menerima sumbangan daripadanya untuk mendapatkan lesen mineral di negeri itu.
Terbaharu, dia membuat dakwaan memberi memberi sejumlah wang kepada Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Isakndar Mohd Akin atas alasan wang berkenaan yang didakwa akan disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah boleh diperoleh kembali.
Albert dan Shamsul Iskandar akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi empat pertuduhan berkaitan rasuah, diikuti dengan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada hari Jumaat.
Ketika ditanya mengenai jumlah wang dibekukan susulan kes terbabit, Azam berkata, jumlah diperoleh sebagai bukti kes terbabit adalah kecil.
“Kami hanya mengenal pasti beberapa ratus ribu ringgit. Jika saya ingat dengan betul, jumlah keseluruhan sedikit melebihi RM600,000 dan apa yang berjaya dibekukan hanyalah sekitar RM200,000. Ia bukan jumlah yang besar,” katanya.
Beliau berkata, sebarang kesalahan tambahan yang ditemukan sepanjang siasatan boleh membawa kepada siasatan berasingan.
Dalam pada itu, Azam sekali lagi menegaskan pegawai SPRM mematuhi prosedur yang ditetapkan, dan semua bahan bukti diambil mengikut undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







