BERITA SEMASA

Mahfuz persoal Ahli Parlimen PAS, Wawasan tinggalkan sidang khas RCI Tabung Haji

ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen PAS dan Wawasan yang didakwa meninggalkan Dewan ketika sesi khas Parlimen membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.

Beliau berkata, setiap kehadiran Ahli Parlimen ke Parlimen melibatkan penggunaan wang rakyat termasuk kos perjalanan, pengangkutan, penginapan serta kemudahan dan elaun berkaitan.

Menurutnya, justeru setiap perbelanjaan tersebut perlu disertai tanggungjawab untuk menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

“Jari boleh direkodkan hadir, tetapi amanah tidak boleh dibuktikan dengan butang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahfuz berkata, Ahli Parlimen tidak seharusnya hadir ke Parlimen sekadar untuk merekodkan kehadiran, sebaliknya perlu mengambil bahagian dalam prosiding dan membawa suara rakyat.

Beliau turut mempersoalkan alasan pihak terbabit yang mahu sidang ditangguhkan sehingga Perdana Menteri dapat hadir, sedangkan sesi berkenaan boleh diteruskan melalui penerangan Menteri.

“Kalau kamu tidak mahu mengambil bahagian, seharusnya dari awal kamu tidak hadir ke Parlimen dan tidak menghabiskan wang rakyat.
“Bayaran penerbangan, penginapan, elaun mesyuarat dan elaun makan kamu ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Mahfuz turut menyeru Ahli Parlimen PAS dan Wawasan menjelaskan secara terbuka sumbangan mereka dalam sesi khas Parlimen berkaitan RCI Tabung Haji.

Katanya, pendeposit Tabung Haji berhak mendapat penjelasan rasmi mengenai kedudukan institusi itu, termasuk langkah yang telah diambil kerajaan susulan laporan RCI berkenaan.

“Di luar Dewan mereka paling lantang bercakap tentang Tabung Haji. Di dalam Dewan, apabila Tabung Haji dibincangkan, mereka pula yang meninggalkan gelanggang.
“Datang meminta jawapan, tetapi keluar ketika jawapan hendak diberikan,” katanya.

Mahfuz berkata, kepentingan pendeposit perlu diberikan keutamaan dan segala persoalan berkaitan Tabung Haji wajar dijelaskan melalui saluran rasmi Parlimen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button