BERITA SEMASA

PAS guna sentimen anti-Melayu kerana tiada mesej lain – Khalid Samad

SEREMBAN – Ketua Penerangan Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad mendakwa PAS terus memainkan sentimen anti-Melayu dan anti-DAP kerana tidak mempunyai mesej lain yang mampu menarik sokongan pengundi, khususnya masyarakat Melayu.

Menurut beliau, strategi politik parti itu lebih tertumpu kepada usaha meraih kemenangan melalui sentimen dan ketakutan berbanding menawarkan perbandingan dasar, manifesto atau prestasi pentadbiran.

“Kita lihat PAS membuat analisis bahawa majoriti pengundi adalah Melayu dan jika mereka dapat memperoleh sokongan 50 hingga 60 peratus orang Melayu, mereka boleh menang.

“Jadi pendekatan mereka adalah berorientasikan kemenangan. Cara yang paling mudah ialah mewujudkan ‘hantu’ anti-Melayu supaya orang Melayu menjauhkan diri daripada pihak lawan dan menyokong mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah membandingkan manifesto, prestasi pentadbiran atau kualiti calon merupakan pendekatan yang lebih sukar untuk dilakukan, justeru sentimen perkauman dijadikan modal politik.

Menurutnya, taktik menakut-nakutkan orang Melayu dengan dakwaan kononnya wujud ancaman terhadap kaum itu hanya menyebabkan rakyat membuat pilihan berdasarkan emosi, bukannya penilaian terhadap prestasi.

“Ini kaedah yang merosakkan negara kerana rakyat tidak berfikir dan memilih berdasarkan fakta, sebaliknya dipengaruhi emosi serta ketakutan.

“Soal prestasi dan pencapaian pula langsung tidak dipedulikan,” katanya lagi.

Khalid berkata, jika perbandingan dibuat berdasarkan rekod pentadbiran di Negeri Sembilan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mempunyai pencapaian yang jelas untuk dinilai rakyat.

“Pencapaian yang dicapai di Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Tok Min jelas. Kalau hendak dibuat perbandingan, memang tiada pertandingan.

“Itu yang menyebabkan sukar untuk mereka mendapatkan sokongan berdasarkan prestasi, lalu lebih mudah memainkan isu DAP semata-mata,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan pendekatan politik yang bergantung kepada sentimen kaum dan emosi sebagai penghalang kepada kematangan demokrasi negara.

“Politik kita tidak akan menjadi matang jika rakyat tidak memilih berdasarkan prestasi, sebaliknya berdasarkan emosi dan sentimen yang dimainkan pihak tertentu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button