BERITA SEMASA

UMNO jemput kepimpinan tertinggi PAS hadiri PAU 2026

KUALA LUMPUR – UMNO bersetuju menjemput kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadual berlangsung bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Menurutnya, jemputan itu dibuat sebagai tanda penghormatan kepada kepimpinan PAS, selain membalas jemputan yang diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS sebelum ini.

“Mesyuarat turut bersetuju untuk memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026.

“Ia sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, UMNO memberi ruang kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan sebarang rundingan berkaitan kerjasama pilihan raya perlu berasaskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan.

Pada masa sama, UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal dalam kalangan ahli akademik yang menunjukkan sentimen rakyat khususnya orang Melayu, yang mengharapkan usaha penyatuan ummah dapat direalisasikan.

UMNO turut berpandangan bahawa kepentingan keindukan Melayu perlu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

PAU 2026 dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button