BERITA SEMASA

Pelantikan Syeikh Ali Gomaa berdasarkan kepakaran, bukan persepsi politik

KUALA LUMPUR – Pelantikan Syeikh Dr Ali Gomaa sebagai rujukan dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath wajar dinilai berdasarkan kepakaran serta sumbangan beliau dalam bidang keilmuan Islam, bukan persepsi politik terhadap perkembangan di Mesir.

Pengerusi Nadwah Ulama dan Ilmuwan Islam (NUIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Bashir Mohamed Al Azhari berkata, sejarah politik Mesir yang panjang dan rumit tidak seharusnya dinilai berdasarkan satu episod sahaja, apatah lagi menggunakan neraca politik Malaysia.

Menurutnya, umat Islam boleh mempunyai pandangan berbeza mengenai perkembangan politik Mesir, namun perbezaan itu tidak wajar dijadikan ukuran tunggal untuk mempertikaikan kewibawaan seorang ulama yang telah berkhidmat dalam bidang ilmu selama puluhan tahun.

“Berdasarkan penjelasan yang diterbitkan di laman rasmi beliau, pendirian Syeikh Ali Gomaa memperlihatkan prinsip yang konsisten, iaitu mengutamakan kestabilan negara, kesinambungan institusi dan pencegahan kekacauan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selepas Dr. Mohamed Morsi memenangi pilihan raya, Syeikh Ali Gomaa turut menyeru seluruh rakyat Mesir, termasuk mereka yang tidak mengundi Morsi, supaya memberikan sokongan bagi menjayakan pemerintahan baharu.

Justeru, katanya, adalah tidak adil untuk menggambarkan bahawa tokoh agama itu menolak Morsi sejak awal semata-mata atas dasar perbezaan kelompok.

Bashir berkata, isu utama yang perlu diberi perhatian di Malaysia bukanlah pertikaian politik Mesir, sebaliknya masa depan pendidikan pondok dan turath yang memerlukan kepakaran serta pengalaman tokoh berwibawa.

Beliau berkata, kajian kedoktoran Dr Mary Elston di Universiti Harvard mendokumentasikan peranan besar Syeikh Ali Gomaa dalam menghidupkan semula halaqah pengajian turath di Masjid al-Azhar pada dekad 1990-an, ketika tradisi berkenaan semakin malap.

Katanya, usaha itu turut menyumbang kepada kemunculan jaringan institusi yang meneruskan tradisi pengajian berkenaan sehingga kini.

Menurutnya, Syeikh Ali Gomaa bukan sekadar sarjana yang menulis mengenai turath, malah mempunyai pengalaman langsung membina semula budaya pengajian kitab, termasuk menghidupkan hubungan guru dan murid, memulihkan kaedah pembacaan turath bersanad serta memastikan kesinambungan tradisi keilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah merentasi generasi.

“Pengalaman menghidupkan semula tradisi inilah yang menjadikan beliau amat relevan sebagai rujukan utama dalam usaha memperkasa pendidikan pondok dan turath di Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan, pelantikan Syeikh Ali Gomaa sebagai penasihat pendidikan tidak bermaksud Malaysia menerima atau menyokong pendirian politik beliau berhubung Mesir, sebaliknya memanfaatkan kepakaran yang telah dibuktikan dalam bidang yang diperlukan negara.

Katanya, sejarah keilmuan Islam mengajar umatnya supaya mengambil ilmu daripada ahlinya dengan menilai kewibawaan seseorang berdasarkan kepakaran dalam bidang yang dikuasai, bukannya menolak seluruh sumbangannya akibat perselisihan dalam perkara lain.

Sehubungan itu katanya, NUIM menyeru masyarakat, ahli politik dan pengamal media supaya menghormati kerumitan politik negara lain, membezakan perselisihan politik daripada penilaian terhadap kepakaran agama serta menilai pelantikan berkenaan berdasarkan objektif sebenar Majlis Penasihat Pondok dan Turath.

“Jika tujuan majlis ini adalah untuk memelihara dan memperkukuh pendidikan turath, maka rekod seseorang dalam membangunkan pendidikan turath mestilah menjadi pertimbangan utama.

“Dalam hal ini, rekod Syeikh Ali Gomaa berbicara dengan sendirinya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button