BERITA SEMASA

Empat maut ditembak di sekolah rendah AS, anggota komuniti tembak mati suspek

BEND (AS) –  Tiga kanak-kanak berusia lima, lapan dan 11 tahun serta seorang guru maut dalam insiden tembakan di Silver Rail Elementary School di Bend, Oregon, Amerika Syarikat (AS), pada Khamis.

Ketua Polis Bend, Mike Krantz berkata, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan seorang guru berusia 54 tahun turut cedera parah dalam kejadian itu dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, suspek berusia 16 tahun turut maut selepas ditembak seorang anggota komuniti yang mengejarnya masuk ke dalam sekolah ketika serangan berlaku.

Krantz berkata, suspek dipercayai memasuki bangunan sekolah dengan melepaskan tembakan ke arah pintu yang berkunci. Bagaimanapun, polis belum mendedahkan butiran lanjut mengenai suspek atau motif serangan berkenaan.

Beliau berkata, anggota komuniti terbabit menyedari kehadiran suspek sebelum bertindak mengejarnya ke dalam bangunan bagi menghentikan serangan dan mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.

Gabenor Oregon, Tina Kotek, yang turut menghadiri sidang media berhubung kejadian itu, merakamkan penghargaan kepada individu berkenaan kerana bertindak berani bagi menghalang pertambahan jumlah mangsa.

“Tiada ibu bapa yang sepatutnya melalui hari seperti ini dan tiada komuniti yang sepatutnya mengalami tragedi seperti ini,” katanya.

Susulan serangan itu, pelajar dan kakitangan sekolah dipindahkan ke sebuah gereja berhampiran bagi membolehkan mereka bertemu semula dengan keluarga masing-masing.

Pihak berkuasa turut menjalankan pemeriksaan di seluruh bangunan bagi memastikan tiada lagi ancaman.

Sementara itu, semua sekolah dalam daerah Bend-La Pine membatalkan kelas dan aktiviti pada Jumaat bagi memberi ruang kepada komuniti sekolah menghadapi tragedi berkenaan.

Polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif serangan serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai suspek.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button