Banjir kilat di Istanbul ragut tiga nyawa, empat masih hilang
ISTANBUL – Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala empat lagi dilaporkan hilang selepas Istanbul dilanda banjir kilat susulan hujan paling lebat dalam tempoh lebih 80 tahun.
Agensi berita Anadolu melaporkan, hujan lebat yang melanda bandar terbesar Turkiye itu sejak pagi kelmarin dan semakin buruk sepanjang hari menyebabkan banjir di beberapa kawasan, menenggelamkan kediaman, premis perniagaan dan jalan raya.
Rakaman video turut menunjukkan kenderaan dihanyutkan arus deras, manakala beberapa laluan dan kawasan bandar terjejas akibat kenaikan paras air.
“Kita bercakap mengenai taburan hujan tertinggi di Istanbul sejak catatan rekod bermula pada 1942,” kata Gabenor Istanbul, Davut Gul.
Pejabat gabenor memaklumkan jumlah korban meningkat kepada tiga selepas mayat seorang lelaki ditemukan berhampiran sebuah taman di kawasan Kagithane.
Mangsa lain termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang maut akibat renjatan elektrik selepas terpijak lopak air di kawasan Balat.

Seorang lagi lelaki berusia 34 tahun dilaporkan maut selepas terjatuh ketika cuba merentasi air banjir dan terhantuk pada permukaan jalan.
“Empat mangsa lain masih hilang,” menurut beberapa pegawai.
Pihak berkuasa tempatan turut merekodkan 1,277 kejadian banjir dan 15 tanah runtuh, manakala perkhidmatan kecemasan menerima 2,518 laporan berkaitan cuaca buruk.
Bencana itu turut menjejaskan 808 rumah, 280 premis perniagaan dan 76 kenderaan di seluruh bandar berkenaan.
Bagi menangani keadaan itu, kira-kira 8,000 anggota bersama 2,000 kenderaan dan jentera dikerahkan untuk menjalankan operasi menyelamat, mengepam air serta membantu penduduk yang terjejas.
Pihak berkuasa turut menutup sekolah di seluruh Istanbul pada Khamis, selain melarang sementara penggunaan motosikal di jalan raya berikutan keadaan berbahaya. Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak keluar rumah kecuali bagi urusan penting.
Operasi menyelamat dan kerja-kerja pemulihan diteruskan ketika pihak berkuasa memantau keadaan banjir serta kesan kerosakan di beberapa kawasan bandar itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








