MRT Laluan Kajang alami kelewatan akibat cubaan curi kabel
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) bagi Laluan Kajang mengalami kelewatan pagi tadi berpunca daripada pencerobohan kawasan landasan dan cubaan mencuri kabel.
Rapid KL menerusi kenyataan berkata insiden itu dikesan pada 5.30 pagi di antara Stesen Phileo Damansara dan Stesen Pusat Bandar Damansara.
Susulan itu katanya, bekalan kuasa di kawasan terlibat telah diputuskan buat sementara waktu mengikut prosedur operasi dan keselamatan yang ditetapkan.
“Langkah ini diambil bagi membolehkan Polis Bantuan menjalankan pemeriksaan dan mengesan suspek, di samping memastikan keselamatan penumpang, petugas serta kawasan landasan dan kelancaran operasi perkhidmatan tren.
“Bekalan kuasa kemudiannya disambung semula pada jam 6.32 pagi selepas tindakan yang diperlukan dilaksanakan,” katanya.
Syarikat itu memaklumkan, sepanjang operasi berkenaan dijalankan, perkhidmatan tren alternatif turut disediakan bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diteruskan dengan selamat.
“Rapid KL memandang serius kejadian kecurian kabel yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan tren serta keselamatan penumpang dan petugas.
“Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








