JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru tiga lelaki bakar kucing hidup-hidup

KAJANG – Tiga lelaki dipercayai terlibat membakar seekor kucing hidup-hidup di tempat letak motosikal di Flat Sri Kenari, Sungai Ramal Baru yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Pendedahan dibuat oleh Persatuan Haiwan Malaysia melalui akaun Instagram @animalmalaysia, petang ini selepas saksi kejadian membuat laporan polis.

Persatuan Haiwan Malaysia berkata, dalam kejadian pada pukul 2 petang semalam itu, sekumpulan lelaki dilihat mencurahkan bahan bakar dan menyalakan api pada seekor anak kucing.

“Seorang pelaku tukang bakar melakukan tugas kejam tersebut disaksikan dua rakan lainnya yang merupakan salah seorang adalah remaja bawah umur.

“Kejadian berlaku di tempat letak motor Flat Seri Kenari, Kajang Selangor adalah pertama melibatkan pembakaran kucing hidup-hidup di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Persatuan Haiwan Malaysia menggesa polis mengambil tindakan ke atas pelaku bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

“Persatuan Haiwan Malaysia menggesa Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) @pdrmsia_official mengambil serius kes seumpama ini kerana khuatir ia merupakan petanda awal keparahan kriminologi terhadap haiwan merebak kepada manusia lain akibat tiada langkah pencegahan, hukuman dan koreksional diambil dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan dari seorang wanita berusia 63 tahun mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti individu terlibat dan sedang giat mengesan suspek untuk disiasat.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Suresh Krishnan di talian 0174333795 bagi membantu siasatan,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button