BERITA SEMASA

Cabut misai harimau: Perhilitan buat laporan polis

IPOH – Satu laporan polis dibuat berhubung tindakan beberapa individu mencabut misai harimau belang yang ditemui mati dipercayai dilanggar treler di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran hentian sebelah Gua Tempurung, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, berkata laporan oleh pihaknya dilakukan di Balai Polis Kampung Simee di sini, petang semalam.

“Tindakan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 68 (c) (Akta A1646) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022,” katanya memetik laporan Bernama.

“Mereka yang memiliki atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya termasuk terbitannya seperti kuku, tulang, kulit, misai, tanpa kebenaran jika sabit kesalahan hendaklah didenda tidak kurang RM150,000 dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata, karkas harimau jantan berusia anggaran lapan tahun ke 10 tahun itu telah selesai dibedah siasat di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Sungkai (NWRC), semalam dan siasatan lanjut masih dilakukan pihaknya.

“Semasa saya membuat pemeriksaan, hanya misai yang hilang manakala kuku, gigi, taring dan lain-lain masih ada pada harimau itu,” katanya.

Yusoff mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak mencuri sebarang anggota milik harimau belang sekiranya menemui bangkai haiwan itu bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas.

Semalam, harimau belang jantan itu yang dipercayai dilanggar lori treler ditemukan mati di tepi pembahagi jalan berdekatan lebuh raya terbabit.

Harimau belang itu juga dipercayai adalah binatang yang dilaporkan menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar sebelum ini.

Turut tular video berdurasi kira-kira 24 saat menunjukkan beberapa lelaki bertindak mencabut misai harimau belang berkenaan beberapa kali

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button