BERITA SEMASA

Hampir 2 juta kenderaan dijangka masuki negeri Utara – PDRM

BUKIT KAYU HITAM – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan hampir dua juta kenderaan akan memasuki negeri sebelah Utara menjelang sambutan Aidilfitri yang jatuh hujung minggu ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jumlah itu termasuk kenderaan yang akan melalui Kedah untuk ke Perlis dan Pantai Timur.

“Bagi penugasan Op Selamat kali ini, kita memberi tumpuan lebih di lokasi ‘blackspot’ yang kerap berlaku kemalangan. Terdapat 13 lokasi telah dikenal pasti iaitu masing-masing dua lokasi di daerah Kuala Muda, Baling dan Kulim/Bandar Baharu manakala tujuh lokasi di daerah Sik.

“Seramai 220 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ditugaskan untuk memastikan kawalan lalu lintas di seluruh Kedah berjalan lancar dan akan turut dibantu 89 anggota polis daripada elemen yang berlainan.” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serahan sumbangan Aidilfitri kepada petugas di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (Martak PGA), di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dengan tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba dan memotong secara berbahaya.

Selain itu, beliau berkata pemantauan oleh unit dron juga akan digunakan sekiranya perlu dan elemen kawalan di pintu sempadan akan lebih diperketat bagi memastikan tidak berlaku sebarang pencerobohon yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button