BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

16 ‘mat rempit’ ditahan, 87 motosikal disita dalam operasi bersepadu

MELAKA – Aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal yang terbabit dalam aktiviti ‘lumba haram’ di Jalan Paya Luboh, Tangga Batu di sini, mengundang padah apabila 16 individu ditahan dalam satu operasi bersepadu, awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Melaka dengan kerjasama JSPT Bukit Aman serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka itu bermula kira-kira jam 2 hingga 5 pagi.

Ketua JSPT Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 30 tahun, termasuk seorang pelajar Tingkatan 4.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dikesan melakukan aksi berbahaya seperti memecut laju, zig-zag serta memotong kenderaan lain secara melulu sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Sepanjang operasi, 178 kenderaan diperiksa dan 87 motosikal disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam operasi sama, sebanyak 237 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran, cermin sisi, ubah suai ekzos serta tiada lesen memandu.

Selain itu, JPJ Melaka turut mengeluarkan 274 notis P22 dan beberapa tindakan penguatkuasaan lain ke atas kenderaan yang diperiksa.

Muhammad Zaki berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti samseng jalanan di negeri itu.

“Orang ramai, khususnya golongan remaja, dinasihatkan agar tidak terlibat dengan aktiviti ini kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button