Polis tahan pemandu bas nahas Genting Highlands, miliki 29 saman trafik
BENTONG – Polis menahan pemandu bas berusia 55 tahun yang memiliki 29 saman trafik selepas disyaki memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan tiga kenderaan di kilometer (KM) 16 Jalan Genting Highlands, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 5.09 petang yang melibatkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Aruz dalam perjalanan ke ibu negara.
“Bas pertama dipercayai hilang kawalan di selekoh sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Aruz dan kemudiannya merempuh bahagian belakang sebuah lagi bas persiaran.
“Akibat perlanggaran itu, bas persiaran kedua hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu kiri jalan, manakala bas pertama pula terbabas ke bahagian kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua bas berkenaan masing-masing membawa 38 dan 36 penumpang termasuk pemandu, dengan sebuah daripadanya membawa pekerja warga asing sebuah kilang elektronik di Selangor yang dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Genting Highlands.
Zaiham berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu bas persiaran pertama yang dipercayai memandu secara melulu sehingga hilang kawalan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemandu berusia 55 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek turut didapati negatif, namun semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai 29 saman trafik bagi pelbagai kesalahan.
Dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun lima penumpang terdiri daripada tiga warga Bangladesh, dua warga Nepal serta seorang penumpang tempatan dari Perodua Aruz mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















