Polis Selangor kutip RM19.5 juta hasil diskaun saman 70 peratus
SHAH ALAM – Program Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 70 peratus yang dilaksanakan di Selangor terbukti mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatat kutipan kompaun mencecah RM19.51 juta dalam tempoh dua bulan pelaksanaannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sepanjang program itu berlangsung dari 1 November hingga 30 Disember 2025, sebanyak 258,345 keping saman trafik berjaya diselesaikan di semua kaunter Trafik COPS di seluruh negeri.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 125,759 saman melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 257 Kanun Jalan Raya dengan nilai kutipan sebanyak RM11.49 juta, manakala 132,586 saman di bawah Seksyen 170A merekodkan kutipan RM8.01 juta.
“Prestasi kutipan tertinggi mengikut daerah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan jumlah RM2.7 juta, diikuti IPD Petaling Jaya sebanyak RM2.1 juta dan IPD Kajang berjumlah RM1.7 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mencatat perkembangan positif dari segi kaedah pembayaran apabila orang ramai semakin cenderung menggunakan saluran digital.
“Bayaran melalui kaedah e-pembayaran merekodkan kutipan sebanyak RM9.45 juta, manakala pembayaran secara tunai mencatatkan RM10.05 juta,” katanya.
Menurut Shazeli, trend tersebut mencerminkan peningkatan tahap penerimaan masyarakat terhadap penggunaan teknologi digital yang lebih pantas dan efisien, selari dengan agenda transformasi digital negara.
“Pelaksanaan diskaun kompaun itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan rakyat, malah berperanan meningkatkan kesedaran serta pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang trafik.
“Inisiatif ini secara tidak langsung menyumbang kepada usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Selangor,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








