Tiga ditahan, lebih 1 kg heroin, 30 kg kafein dirampas dalam makmal rumah
NIBONG TEBAL – Tiga lelaki, termasuk seorang warga Sri Lanka ditahan polis dalam serbuan di Taman Tambun Permai pada Selasa lalu yang membawa kepada rampasan lebih 1.1 kilogram (kg) dadah disyaki heroin dan 30 kg kafein.
Serbuan pada pukul 4.30 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas risikan mendapati sebuah rumah di kawasan berkenaan dijadikan makmal memproses heroin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pemeriksaan awal menemukan 1.1 kg heroin, 0.64 kg heroin base, 4 kg kafein serta pelbagai peralatan dan bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah.
“Dua lelaki warga tempatan ditahan di lokasi, sebelum hasil soal siasat membawa kepada penangkapan seorang lelaki warga Sri Lanka bersama 26 kg kafein pada pukul 5.04 petang di kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, siasatan mendapati suspek utama terlibat dalam proses menghasilkan heroin, manakala dua lagi bertindak sebagai penghantar dadah dan bahan kimia.
Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu.
Semakan rekod menunjukkan dua suspek warga tempatan mempunyai sejarah kes dadah dan jenayah manakala warga Sri Lanka terbabit tidak mempunyai rekod lampau.
Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek berusia 25 hingga 46 tahun itu didapati negatif.
Selain dadah, polis turut menyita empat kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda Civic serta dua motosikal Yamaha LC135 yang dianggarkan bernilai RM134,500.
“Keseluruhan rampasan dadah dan kenderaan dianggarkan bernilai RM209,000. Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 19 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








