Kereta dijadikan stor dadah, polis rampas 2.2 kilogram heroin, syabu
ALOR GAJAH – Taktik seorang lelaki menjadikan kereta sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar selepas polis merampas 1,600 paket plastik lut sinar berisi heroin dan syabu seberat lebih 2.2 kilogram dalam serbuan di Jalan Perindustrian Rembia, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, dalam serbuan jam 6.10 pagi pada 12 September itu, polis turut menahan suspek berusia 31 tahun yang dipercayai ‘tokan dadah’.
Beliau berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hasil maklumat dan risikan.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu, polis menjumpai 1,500 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki heroin anggaran seberat 2,129.30 gram.
“Turut dirampas 100 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki syabu anggaran berat 96 gram dengan keseluruhan rampasan bernilai RM35,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azrul berkata, siasatan lanjut mendapati kereta berkenaan diparkir di lokasi serbuan dan dijadikan stor simpanan sebelum suspek mengambil bekalan untuk diedarkan kepada penagih di kawasan Krubong.
“Suspek mendakwa tidak mengenali individu yang meletakkan dan menambah bekalan dalam kereta itu setiap kali stok berkurang.
“Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Julai lalu dan semua rampasan boleh digunakan seramai 2,500 penagih,” katanya.
Menurut beliau, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Benelli 150 bernilai RM5,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM38,000.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berstatus tiada tindakan lanjut (NFA), manakala saringan awal air kencingnya negatif dadah.
“Suspek direman tujuh hari hingga esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Usaha sedang diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.
“Kita berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di persekitaran mereka menerusi talian hotline JSJN 012-2087222,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







