SUKAN

Lamine Yamal kembali jadi taruhan utama Sepanyol hadapi Arab Saudi

ATLANTA – Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal kembali menjadi pertaruhan apabila disenaraikan semula oleh pengendali Luis de la Fuente dalam kesebelasan utama menjelang aksi penting menentang Arab Saudi pada saingan Piala Dunia, sebentar lagi.

Pemain berusia 18 tahun itu kembali berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas berehat hampir dua bulan susulan kecederaan hamstring yang dialaminya pada 22 April lalu.

Pemain sayap Barcelona itu sebelum ini telah kembali beraksi ketika perlawanan pembukaan Sepanyol menentang Cape Verde, namun gagal membantu La Roja memecahkan kebuntuan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan pasukan debutan itu.

Kehadiran semula Yamal antara empat perubahan yang dilakukan De la Fuente selepas prestasi hambar pada aksi pertama.

Turut kembali mengisi kesebelasan utama ialah Pedro Porro, Dani Olmo dan Alex Baena, manakala Marcos Llorente, Fabian Ruiz, Ferran Torres serta Gavi digugurkan daripada senarai permulaan.

Sepanyol kini memburu kemenangan pertama bagi memperbaiki kedudukan serta mengukuhkan peluang ke pusingan seterusnya selepas permulaan yang kurang memberangsangkan.

Dalam perkembangan sama, Arab Saudi turut mengutip satu mata pada aksi pembukaan selepas seri 1-1 dengan Uruguay.

Skuad Green Falcons itu dijangka tetap memberi tentangan sengit, terutama selepas mencipta kejutan besar ketika menewaskan Argentina pada Piala Dunia 2022, sebelum juara berkenaan akhirnya dinobatkan sebagai pemenang kejohanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button