BERITA SEMASASUKAN

Pemain import ke Piala Dunia: Selangor, Terengganu dijangka raih ganjaran FIFA

KUALA LUMPUR – Peluang beraksi di pentas Piala Dunia FIFA 2026 bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain, malah membuka ruang ganjaran lumayan kepada Selangor FC dan Terengganu FC.

Dua pemain import Selangor, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi dijangka memperkuatkan pasukan Jordan, manakala penyerang Terengganu, Gervane Kastaneer pula berpotensi menyarung jersi Curacao pada kejohanan berprestij itu.

Situasi tersebut membolehkan kedua-dua kelab tempatan berkenaan menikmati pulangan kewangan yang dianggarkan antara RM1 juta hingga RM2 juta menerusi program Faedah Kelab oleh FIFA.

Program yang dinaik taraf pada September 2025 itu memberi ganjaran kepada kelab yang melepaskan pemain mereka untuk tugasan antarabangsa sepanjang tempoh dua tahun, meliputi pusingan kelayakan hingga ke pusingan akhir.

Sebelum ini, bayaran hanya diberikan kepada kelab yang mempunyai pemain dalam pasukan yang layak ke pusingan akhir, namun pendekatan baharu memperluaskan manfaat kepada lebih banyak kelab di seluruh dunia.

Bagi menjayakan inisiatif itu, FIFA menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah AS$355 juta (RM1.4 bilion).

Sebagai perbandingan, pada edisi Piala Dunia FIFA 2022 lalu, sebanyak AS$202 juta (RM842 juta) telah diagihkan kepada 440 kelab daripada 51 ahli FIFA yang mewakili enam konfederasi.

Langkah tersebut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kelab dalam pembangunan pemain, selain membantu mengukuhkan kedudukan kewangan pasukan di peringkat domestik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button