‘Beta mahu tapak bazar Ramadan diberi kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga’ – Sultan Selangor
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar tapak bazar Ramadan di negeri ini diberikan kepada individu yang benar-benar mahu berniaga dan bukan kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk tujuan lain.
Titah baginda, penjualan hak pelesenan bazar Ramadan kepada pihak ketiga akan mengakibatkan kenaikan harga barangan, sekali gus menyebabkan rakyat terbeban.
“Beta difahamkan kerajaan beta ada menyediakan tapak bazar Ramadan untuk umat Islam menjual pelbagai jenis juadah untuk berbuka puasa dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Beta mahu tapak bazar Ramadan ini diberi kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga dan bukan dimanipulasi atau dijual hak pelesenannya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Penjualan hak pelesenan Bazar Ramadhan kepada pihak ketiga ini akan menyebabkan harga barangan menjadi mahal dan rakyat akan merasa terbeban,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada masa yang sama, Sultan Sharafuddin turut berharap seluruh umat Islam akan dapat menjalani ibadah puasa dan mengambil peluang untuk menambahkan amal ibadat di bulan yang mulia ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








