BERITA SEMASADALAM NEGERIPOLITIK

PAS persoal keperluan ladang babi berkeluasan 500 ekar di Bukit Tagar

KUALA LANGAT – Cadangan pemindahan ladang penternakan babi ke lokasi baharu di Bukit Tagar yang melibatkan keluasan kira-kira 500 ekar disifatkan sebagai tidak wajar dan terlalu besar, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap alam sekitar, sumber air serta sektor pelancongan di Selangor.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keluasan yang dicadangkan itu tidak seimbang dengan keperluan sebenar penternakan babi di negeri ini selepas pemindahan ladang yang sepatutnya dilaksanakan pada 2030 dipercepatkan ke tahun ini.

Menurut Dr Ahmad yang juga Yang Di-Pertua PAS Kuala Langat, berdasarkan kiraan kasar, keluasan ladang yang terlalu besar berpotensi menempatkan jumlah ternakan yang amat tinggi dan melangkaui keperluan sebenar pengguna domestik.

“Kalau kita buat kiraan mudah, 10 meter persegi boleh menempatkan sekitar 100 ekor babi. Jika melibatkan keluasan yang terlalu besar, jumlah ternakan boleh mencecah ratusan ribu malah jutaan ekor, walaupun mengambil kira faktor penampan, perubahan guna tanah serta industri biogas.

“Sedangkan keperluan sebenar pengguna mungkin sekitar 30 peratus sahaja, yang dianggarkan sekitar 300,000 ekor. Ia sepatutnya berkadar dengan keperluan, bukan untuk tujuan eksport dan tidak memerlukan ladang sebesar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melakukan tinjauan ladang babi di Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat yang turut dihadiri Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono.

babi
Datuk Dr Ahmad Yunus. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Baca juga : Bau busuk menyengat, pencemaran najis babi: PAS desak ladang babi Tanjung Sepat ditutup segera

Dr Ahmad Yunus menegaskan, Malaysia masih mempunyai sumber lain bagi memenuhi keperluan protein masyarakat yang menggunakan daging babi, termasuk dari Sarawak dan Pulau Pinang, tanpa perlu mewujudkan ladang berskala terlalu besar di Selangor yang merupakan negeri pesat membangun.

Beliau turut menyentuh cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan supaya penternakan babi tidak dibuka langsung di lokasi baharu seperti Bukit Tagar, sebaliknya keperluan dipenuhi melalui import, memandangkan risiko pencemaran alam sekitar yang tinggi.

“Selangor ini kawasan membangun dan mempunyai kepentingan strategik, khususnya Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah utama melibatkan 60 hingga 70 peratus bekalan air untuk rakyat Selangor dan Kuala Lumpur melalui lima loji rawatan air.

“Walaupun sistem mungkin dibina secara tertutup, risiko kebocoran atau kerosakan tetap ada. Jika berlaku pencemaran, kesannya sangat besar kepada bekalan air bersih rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa pencemaran bukan sahaja melibatkan perubahan warna air, malah kandungan logam berat dan sisa daripada penternakan babi boleh memberi kesan rantaian kepada ekosistem laut, termasuk ikan yang akhirnya menjadi sumber makanan manusia.

Katanya, isu mikroplastik dan pencemaran dalam hidupan laut sudah pun dikesan memberi kesan kepada kesihatan manusia, apatah lagi jika pencemaran daripada sisa penternakan tidak dikawal dengan baik.

Beliau turut membangkitkan kesan terhadap sektor pelancongan, khususnya kawasan pantai di Selangor seperti Morib dan kawasan berhampiran yang berpotensi terjejas sekiranya berlaku pencemaran dan bau busuk berterusan.

“Selangor ada banyak pantai yang menjadi tarikan pelancong. Bila alam sekitar tercemar, bukan sahaja penduduk tempatan terjejas, malah pelancong juga tidak mahu datang, terutama jika berdepan dengan bau yang tidak menyenangkan,” katanya.

Menurut beliau, aspek alam sekitar dan pelancongan perlu diberi keutamaan kerana kerosakan yang berlaku bukan mudah untuk dipulihkan dan kesannya boleh berpanjangan kepada kesejahteraan rakyat serta ekonomi negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button