BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pemuda PAS sedia jadi benteng penduduk Hulu Selangor tolak kandang babi berpusat

HULU SELANGOR – Pemuda PAS menyatakan kesediaan menjadi benteng kepada penduduk Hulu Selangor bagi menolak cadangan kerajaan negeri Selangor membina Ladang Ternakan Babi Moden berpusat di Bukit Tagar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Muizzuddin Mahyuddin berkata, Bukit Tagar yang berjiran dengan DUN Hulu Bernam berpotensi memberi kesan secara langsung kepada penduduk setempat sekiranya cadangan berkenaan diteruskan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya mewakili suara serta pandangan penduduk setempat terhadap cadangan memusatkan ladang ternakan babi moden berkapasiti 100,000 ekor itu, yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 500 ekar.

“Saya mewakili warga penduduk DUN Hulu Bernam menyatakan pandangan dan suara warga di sini terhadap cadangan memusatkan Ladang Ternakan Babi Moden di Bukit Tagar dengan kapasiti 100,000 ekor babi melibatkan 500 ekar tanah yang cukup luas,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Muizzuddin bersama ratusan penduduk Hulu Selangor berhimpun secara aman semalam bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan berkenaan.

Muizzuddin berkata, pendduduk turut menuntut agar Kajian Impak Alam Sekitar dan Sosial dilaksanakan terlebih dahulu, selain mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, mereka juga mencabar kerajaan negeri supaya turun sendiri berjumpa rakyat di Hulu Selangor sekiranya berpendapat tindakan itu wajar dilaksanakan.

“Penduduk menegaskan kawasan terbabit mempunyai Sungai Selangor, kolam takungan air serta loji rawatan air yang menjadi nadi kehidupan kepada kira-kira 60 hingga 70 peratus penduduk di Selangor,” katanya.

Selain itu, Muizzuddin berkata, penduduk juga mahu risiko limpahan kolam takungan buangan babi ketika hujan lebat serta kemungkinan pencemaran melalui larut resap ke dalam tanah dan sumber air mentah dinilai secara menyeluruh.

Penduduk juga meminta kerajaan negeri membuat pertimbangan sama ada penternakan babi dalam kuantiti besar masih relevan, memandangkan guna tanah di Selangor semakin terhad.

Menurut mereka, banyak lagi perkara yang perlu dinilai seperti yang dibangkitkan dalam ucapan wakil-wakil masyarakat sepanjang himpunan aman berkenaan, yang memerlukan penelitian tambahan kerajaan negeri sebelum memusatkan Ladang Ternakan Babi Moden di Bukit Tagar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button