BERITA SEMASA

Selangor tanggung sendiri kos SUKMA 2026, kerajaan negeri kesal tiada dana Persekutuan

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyifatkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan negeri sebagai sesuatu yang tidak wajar berikutan ketiadaan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan dua permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan peruntukan, namun sehingga kini tiada dana disalurkan.

Menurut beliau, surat pertama dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan terdahulu yang kini memegang portfolio Menteri Wilayah Persekutuan, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

“Apabila menteri baharu dilantik, kami sekali lagi mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sedikit dana. Kali ini ada respons, tetapi tiada peruntukan diberikan dan tiada justifikasi khusus dikemukakan.

“Jika ada Ahli Dewan Negeri yang juga Ahli Parlimen, mereka boleh membangkitkan perkara ini di Parlimen,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) mengenai alasan KBS tidak menyalurkan sebarang peruntukan kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA 2026.

Mohd Najwan berkata, keadaan itu menyebabkan Selangor terpaksa menanggung keseluruhan kos penganjuran menggunakan dana kerajaan negeri.

“Di Selangor, kita bergerak secara bersendirian dengan menggunakan sepenuhnya peruntukan kerajaan negeri.

“Keadaan ini tidak begitu sihat dan pada masa akan datang penganjuran SUKMA sepatutnya turut mendapat sokongan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, Sarawak selaku tuan rumah SUKMA 2024 difahamkan menerima hampir RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan, manakala keseluruhan kos penganjuran temasya itu melebihi RM250 juta.

“Di Selangor, kita berjaya menganjurkan SUKMA dengan kerangka perbelanjaan sekitar RM50 juta sahaja,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada perbelanjaan berkaitan gelanggang pertandingan tanpa menjejaskan kualiti penganjuran dan kebajikan atlet yang mengambil bahagian.

Katanya, daripada keseluruhan kos penganjuran, RM50 juta dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri, manakala hampir RM8 juta lagi diperoleh menerusi tajaan daripada pelbagai pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button