BERITA SEMASA

35 hingga 40 Ahli Parlimen sedia bahas laporan RCI Tabung Haji

PUTRAJAYA – Sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sidang Khas Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 11 Ogos ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang turut mengambil maklum persiapan bagi sidang khas berkenaan.

Menurut beliau, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul turut bersetuju supaya sidang khas tersebut berlangsung secara berterusan tanpa waktu rehat bagi memberi ruang secukupnya kepada Ahli Parlimen membahaskan isu berkenaan.

“Setakat ini dianggarkan antara 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk mengambil bahagian dalam perbahasan laporan RCI Tabung Haji.

“Rakyat juga boleh mengikuti siaran langsung sidang khas tersebut menerusi saluran media rasmi,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI Tabung Haji akan diadakan pada 11 Ogos selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

RCI itu ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan dan kedudukan kewangan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan krisis yang berpunca daripada ketidakpadanan antara aset dan liabiliti institusi berkenaan.

Jemaah Menteri bersetuju mengelaskan semula laporan RCI tersebut bagi membolehkan ia didedahkan kepada umum, selain meneruskan siasatan lanjut oleh agensi penguat kuasa berdasarkan dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan.

Laporan itu mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi Tabung Haji dilaporkan telah melaksanakan kira-kira 75 peratus daripada cadangan tersebut.

Pada masa sama, prestasi kewangan Tabung Haji yang semakin pulih turut dizahirkan menerusi pengumuman agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button