JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Johor tumpaskan sindiket vape dadah, rampas lebih RM10.8 juta cecair ‘piu-piu’

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang memproses dan mengedar cecair vape mengandungi methamphetamine atau dikenali sebagai vape ‘piu-piu’ menerusi lima serbuan berasingan di Johor, Ahad lalu.

Dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor itu, tujuh individu ditahan manakala pelbagai jenis dadah serta harta bernilai keseluruhan RM10.8 juta dirampas dan disita.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, operasi yang bermula pada pukul 11 pagi itu dijalankan hasil risikan terhadap sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari lalu.

Menurut beliau, serbuan di Kulai, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Muar membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun.

“Hasil serbuan pertama di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing serta merampas 9,000 kartrij vape disyaki mengandungi cecair methamphetamine seberat 82.40 kilogram (kg) bernilai RM4.12 juta yang disimpan di dalam sebuah Honda BR-V,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah kondominium di Bandar Medini, Iskandar Puteri mendedahkan lokasi itu dijadikan pusat pembungkusan dan pengisian cecair vape mengandungi dadah.

Katanya, polis merampas 127.55 liter cecair methamphetamine, kokain seberat 0.41kg, ketamin seberat 40 gram serta pelbagai mesin dan peralatan yang digunakan untuk memproses produk berkenaan.

“Serbuan ketiga di Taman Sutera Utama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama rampasan heroin, pil Erimin 5 dan pil ekstasi.

“Dua lagi serbuan di Mutiara Rini dan Tanjung Agas, Muar pula berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan yang dipercayai memainkan peranan penting dalam sindiket ini,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Menurut Chuan Huat, siasatan mendapati setiap suspek mempunyai peranan tersendiri termasuk sebagai penghantar dadah, penjaga stor pemprosesan, ‘runner’, penerima peralatan, pembantu operasi dan dalang utama sindiket.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 210.43kg dengan nilai pasaran RM10.68 juta, yang dipercayai mampu dibekalkan kepada kira-kira 649,096 penagih.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala empat lagi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Selain dadah, polis turut menyita tiga kenderaan iaitu Ford Ranger, Mercedes-Benz dan Perodua Aruz bernilai RM120,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button