Pelaburan tidak wujud, warga emas rugi RM1.59 juta
JOHOR BAHRU – Hasrat seorang lelaki warga emas untuk meraih keuntungan melalui pelaburan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila wang RM1.63 juta yang dilaburkan lesap.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 69 tahun itu menjadi mangsa pelaburan tidak wujud selepas terpedaya dengan iklan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan pada Oktober lalu.
Beliau berkata, mangsa telah menekan pautan iklan dan telah ditawarkan pulangan keuntungan sehingga 40 peratus daripada jumlah pelaburan dalam masa 40 minit.
“Mangsa yang percaya telah mengikut arahan suspek dengan memuat turun satu aplikasi dan mendaftarkan akaun melalui aplikasi tersebut untuk memantau keuntungan.
“Melihat pulangan yang diperolehi, mangsa yang mahu mengeluarkan keuntungan hanya diberikan wang sebanyak RM44,200 sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, selepas gagal menghubungi individu yang mengendalikan pelaburan itu, mangsa mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Kumar mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








