JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara rugi lebih RM300,000, terpedaya pelaburan tidak wujud

KUANTAN – Seorang pesara wanita berusia 61 tahun kerugian RM337,457 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan melalui media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan yang dilihat di Facebook pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, pelaburan itu menawarkan pulangan tinggi dengan modal serendah RM300 dan dijanjikan keuntungan sehingga RM14,000.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor tempatan sebelum diarahkan membuat beberapa transaksi kewangan.

“Dalam tempoh 30 Januari hingga 9 Mac, mangsa melakukan sebanyak 38 transaksi pindahan wang ke 16 akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM337,457,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, segala urusan berkaitan pelaburan termasuk keuntungan hanya dimaklumkan melalui WhatsApp tanpa sebarang platform pelaburan yang sah.

“Mangsa hanya menerima satu bayaran sebanyak RM392.11 sebelum diminta membuat bayaran tambahan RM210,500 kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan,” katanya lagi.

Menurutnya, mangsa yang mula berasa curiga kemudian tampil membuat laporan polis.

“Siasatan mendapati wang yang digunakan adalah daripada simpanan mangsa selain hasil gadaian barang kemas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai agar mendapatkan nasihat pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang pelaburan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Katanya, orang ramai juga digalakkan membuat semakan nombor akaun melalui portal Semak Mule sebelum melakukan transaksi serta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki menjadi mangsa scam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button