14 projek pendidikan di Terengganu siap lebih awal – Fadhlina
KUALA TERENGGANU – Sebanyak 14 projek pembangunan pendidikan di Terengganu berjaya disiapkan mendahului jadual, sekali gus membolehkan murid menikmati kemudahan baharu lebih awal daripada tempoh ditetapkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan dari aspek pengurusan projek, sebaliknya memberi manfaat secara langsung kepada murid yang menunggu untuk menggunakan prasarana pendidikan baharu.
“Yang kita dengar selalu projek lewat beberapa bulan. Minta lanjutan masa. Atau ada yang akhirnya menjadi projek sakit.
“Pagi ini di SMK Tok Jembal, Terengganu saya mahu kita bercakap pula tentang cerita yang sebaliknya.
“14 projek pembangunan pendidikan. Kesemuanya siap mendahului jadual,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Mendahului Jadual hari ini.
Menurut beliau, tempoh yang dijimatkan menerusi projek berkenaan perlu dilihat sebagai masa yang dikembalikan kepada murid untuk menikmati kemudahan lebih baik bagi menyokong proses pembelajaran mereka.
“Ada yang mungkin melihat perkara ini sekadar satu pencapaian dalam pengurusan projek tetapi cuba kita lihat daripada sudut seorang anak yang menunggu prasarana sekolahnya siap.
“Kalau projek siap tiga bulan lebih awal, baginya tiga bulan lebih awal dia dapat menggunakan kemudahan baharu.
“Dalam dunia pendidikan, masa yang kita jimatkan bukan sekadar angka dalam jadual projek. Ia adalah masa yang kita pulangkan untuk pembangunan anak-anak,” katanya.
Fadhlina berkata, Terengganu bukan negeri yang asing dengan kecemerlangan pendidikan apabila negeri itu konsisten mencatat pencapaian membanggakan tahun demi tahun.
“Anak-anaknya bekerja keras. Guru-gurunya bekerja keras, maka aka menjadi tanggungjawab kita memastikan pembangunan fizikal pendidikan turut bergerak dengan kesungguhan yang sama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), pasukan Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan lebih awal.
“Saya ucapkan tahniah kepada Jabatan Kerja Raya, pasukan Kementerian Pendidikan dan semua yang bekerja di belakang tabir. Ini budaya kerja yang kita mahu bina,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








