BERITA SEMASA

Pemansuhan AUKU buka ruang pemikiran kritis mahasiswa – G25

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilihat sebagai peluang untuk membentuk budaya pemikiran lebih kritis dan bebas dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) berkata, pemerkasaan golongan muda perlu bermula di peringkat universiti dengan menyediakan ruang yang membolehkan mereka menyuarakan pandangan dan terlibat secara bertanggungjawab dalam urusan negara.

Menurut G25, pihak itu mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa undang-undang yang akan menggantikan AUKU tidak akan menyekat hak serta kebebasan mahasiswa.

“Universiti seharusnya menjadi ruang yang menggalakkan golongan muda Malaysia berfikir secara kritis, bertukar-tukar pandangan, mempersoalkan pandangan sedia ada dan mengambil bahagian secara bertanggungjawab dalam urusan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Pemansuhan AUKU peluang bentuk kerangka perundangan lebih dinamik

G25 memaklumkan pemansuhan undang-undang lapuk itu memberikan peluang penting untuk mewujudkan hubungan yang berbeza secara asas antara universiti, mahasiswa dan kerajaan.

Katanya, mana-mana undang-undang baharu perlu berpandukan prinsip kebebasan akademik, autonomi institusi serta kebebasan bersuara dan berpersatuan.

“Kami berharap proses penggubalan undang-undang pengganti akan dilaksanakan secara telus serta melalui rundingan menyeluruh dengan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain,” menurut kenyataan itu lagi.

Semalam, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button