KPT teliti langkah ringankan beban mahasiswa susulan krisis tenaga global
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti langkah bersesuaian bagi meringankan beban warga kampus, khususnya mahasiswa, berikutan kemungkinan peningkatan kos sara hidup susulan krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, krisis di Asia Barat hari ini memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada ekonomi global, malah turut menjejaskan pengurusan kewangan warga pendidikan tinggi termasuk staf, ahli akademik dan pelajar.
“Saya telah menerima kunjungan beberapa wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang hadir bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kementerian dan Kerajaan dalam membantu warga kampus menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup termasuk harga makanan dan keperluan harian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zambry, beberapa cadangan telah dikemukakan dan beliau telah meminta pegawai Kementerian untuk meneliti perkara tersebut secara serius.
Sehubungan dengan itu, beliau yakin, dalam masa terdekat, perancangan serta langkah awal yang disarankan KPT akan diumumkan bagi menangani isu ini.
Beliau turut berkata, selepas sesi perbincangan, beliau mengajak wakil pelajar untuk menikmati makan bersama, bagi mewujudkan suasana santai sambil berbincang mengenai kehidupan kampus.
“Yang penting, suara mahasiswa bukan sekadar didengar, tetapi akan diterjemahkan kepada tindakan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















