BERITA SEMASA

KPM jamin tiada pelajar 10A SPM tercicir dari IPT

KUALA LUMPUR – Isu pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi masih tidak dapat tempat pengajian akan diselesaikan segera, kata Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina sidek.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihaknya akan memastikan tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir daripada mendapat tempat dan menasihatkan ibu bapa pelajar supaya bersabar.

“Proses rayuan bagi kemasukan ke Program Matrikulasi KPM sudah selesai dan keputusannya diumumkan pada hari ini.

“Saya mengambil maklum masih terdapat pelajar cemerlang 10A SPM yang memohon, namun belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian.

“Jangan risau, tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir, beri sedikit masa dan saya berjanji penempatan pelajar cemerlang yang belum mendapat tempat akan dapat diselesaikan,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan peluang melanjutkan pengajian diberi kepada semua pelajar cemerlang SPM.

Katanya, inisiatif kerajaan MADANI adalah untuk memastikan semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian tanpa ada yang terpinggir.

“Iltizam kerajaan MADANI untuk memastikan hak Bumiputera terus dipertahankan juga terbukti menerusi pengekalan kuota Bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button