KPM sedia RM100,000 selenggara kemudahan SMK Jalan Reko
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, Kajang yang menempatkan lebih 1,700 pelajar termasuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu bertujuan memastikan keselesaan warga pendidik serta murid di sekolah berkenaan.
“Tiada yang lebih utama selain memastikan kualiti pendidikan di semua sekolah dapat dipertingkat demi manfaat semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Menurutnya, dalam pertemuan bersama guru sekolah terbabit, antara perkara yang diberi penekanan adalah usaha meningkatkan kadar kehadiran murid, menangani isu disiplin serta memperkukuh pencapaian akademik.
“Begitulah keluarga besar KPM ini, semuanya penting. Setiap aspek perlu diberi perhatian merangkumi guru, pentadbir apatah lagi anak-anak murid,” katanya.
Sewaktu lawatan itu, Fadhlina turut meninjau bilik darjah, bilik PPKI, surau, kantin, tandas, padang permainan serta kemudahan lain di sekolah berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








