Selangor peruntuk RM1 juta bangunkan Pantai Bumi Hijau
SABAK BERNAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta menerusi program geran padanan bagi membangunkan Pantai Bumi Hijau di Sungai Air Tawar di sini sebagai destinasi ekopelancongan baharu yang semakin mendapat perhatian pengunjung.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, peruntukan itu digunakan untuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tandas awam tambahan, surau, kawasan riadah serta penambahbaikan infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
Menurut beliau, Pantai Bumi Hijau kini semakin dikenali dalam kalangan pelancong dengan jumlah kehadiran dilaporkan mencecah lebih 3,000 orang sehari terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
“Dengan kemudahan yang disediakan, Pantai Bumi Hijau semakin mendapat tempat sebagai destinasi ekopelancongan baharu di Selangor.
“Usaha memperkasakan destinasi pelancongan ini juga merupakan antara pengisian utama Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam yang menjadi lokasi ketiga siri jelajah selepas daerah Petaling dan Hulu Langat,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam 2026 di Pantai Bumi Hijau, Sungai Air Tawar semalam.
Rizam berkata, kerajaan negeri turut merancang membangunkan sebuah resort berkonsepkan alam semula jadi di kawasan berkenaan bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih unik kepada pengunjung.
Menurutnya, resort tersebut dicadangkan dibina dalam kawasan hutan paya bakau bagi membolehkan pelancong menikmati keindahan ekosistem semula jadi yang terdapat di lokasi itu.
“Apabila sesuatu pembangunan dilaksanakan, aspek kelestarian alam sekitar perlu diberikan perhatian serius termasuk pengurusan kebersihan pantai, sistem kumbahan dan sisa buangan.
“Perkara ini penting kerana ia menjadi antara faktor yang dinilai pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, perancangan pembangunan itu akan dibincangkan bersama Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Daerah Sabak Bernam bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Pantai Bumi Hijau menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung termasuk aktiviti mencari remis, menunggang kuda, perkhemahan keluarga, ‘flying fox’ serta pasar terapung yang beroperasi pada waktu malam.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangan baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz yang berkenan menyertai pelbagai aktiviti riadah di kawasan pantai tersebut.
Baginda turut berkenan menyaksikan persembahan Reog, melepaskan benih udang galah dan ikan siakap serta menyertai aktiviti penanaman semula pokok bakau sebagai usaha memelihara ekosistem pesisir pantai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








