BERITA SEMASA

ParkIt Malaysia nafi terbabit kutipan caj parkir RM5 di MRT Maluri

KUALA LUMPUR – Syarikat pengurusan tempat letak kereta, ParkIt Malaysia menafikan individu yang mengutip caj parkir RM5 di kemudahan Park & Ride Transit Aliran Massa (MRT) Maluri merupakan kakitangan atau wakil syarikat itu.

Penafian tersebut dibuat susulan tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang didakwa meminta bayaran daripada pengguna MRT di kawasan berkenaan.

ParkIt Malaysia berkata, pihaknya tidak mengutip sebarang bayaran parkir di kemudahan Park & Ride MRT Maluri buat masa ini dan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk berbuat demikian bagi pihak syarikat.

“Individu yang meminta bayaran di pintu masuk kawasan berkenaan bukan kakitangan atau wakil ParkIt.

“ParkIt tidak mengutip sebarang bayaran parkir di MRT Maluri buat masa ini dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengutip bayaran bagi pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Threads dikenali sebagai hnnalily memuat naik gambar seorang lelaki memakai baju berkolar hitam sambil memegang paparan kod QR pada telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk mengutip bayaran parkir secara dalam talian.

Dalam hantaran itu, pengguna berkenaan mempersoalkan identiti individu terbabit selain meluahkan rasa tidak puas hati terhadap caj RM5 yang dikenakan.

Menurut ParkIt Malaysia, pihaknya telah mengambil tindakan segera termasuk membuat laporan polis serta menyerahkan rakaman video berkaitan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Laporan berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada MRT Corp, Rapid KL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, wakil Rapid KL bersama Polis Bantuan Prasarana telah hadir ke lokasi kejadian bagi membuat pemantauan dan memastikan keselamatan pengguna.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta mencatat masa dan lokasi insiden sebelum membuat laporan kepada pihak polis menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi ParkIt Malaysia melalui mesej langsung (DM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button