Nak cari bilik elektrik tapi terjumpa ‘kak ponti’ dalam mall
KUALA LUMPUR – Hasrat seorang pekerja mencari bilik elektrik bagi mendapatkan sumber kuasa untuk menjalankan kerja pemasangan lantai epoxy di sebuah pusat beli-belah bertukar pengalaman menyeramkan apabila dikatakan terserempak dengan kelibat wanita berambut panjang atau ‘kak ponti’.
Pro Applicator dan Epoxy Specialist, Wan Amirul Alfanzari atau lebih dikenali sebagai Zari berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau bersama pasukannya menjalankan kerja pada waktu malam di sebuah pusat beli-belah besar di Kuala Lumpur.
Hal ini kerana, kerja pemasangan lantai di pusat beli-belah kebiasaannya dilakukan pada waktu malam kerana kawasan berkenaan masih dipenuhi pengunjung pada waktu siang.
“Dalam shopping mall memang selalunya kita kena buat kerja malam. Siang tempat ini buka jadi kita tak boleh buat kerja.
“Ada satu mall besar dekat KL ini, ketika itu saya mahu buat kerja dan salah seorang pekerja saya nak cari kabel, nak cari bilik elektrik,” katanya ketika muncul dalam podcast Macam Tulah terbitan Malaysia Tribune.
Zari berkata, pekerjanya kemudian menemui sebuah bilik servis sebelum membuka pintu bagi mendapatkan sambungan elektrik.
Bagaimanapun, sebaik pintu dibuka, pekerja terbabit dikatakan terkejut selepas melihat kelibat yang dipercayai seorang wanita atau lebih lazimnya, kak ponti dengan rambut panjang menutupi wajah.
“Bila dia buka pintu, dia nampak macam rambut, tutup betul-betul dekat depan. Rambut hitam, penuh, muka tak nampak.
“Budak saya ini apa lagi, satu mall dah dengar suara dia.
“Kita rasa pontianaklah tu. Dalam mall pun boleh ada pontianak,” katanya.
Susulan kejadian itu, Zari berkata mereka memilih untuk tidak menggunakan bilik berkenaan dan mendapatkan sambungan elektrik dari ruang lain bagi meneruskan kerja.
“Kita tak ambil bilik itu. Kita ambil bilik elektrik yang lain. Kita tidak ganggu dia di dalam itu.
“Tapi pekerja saya yang alami kejadian tersebut kemudiannya mengalami demam selama kira-kira seminggu,” katanya.
Bukan itu sahaja, Zari turut berkongsi satu lagi pengalaman menyeramkan ketika menjalankan kerja pemasangan lantai epoxy di sebuah galeri pada 2020, ketika negara masih berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, kerja-kerja renovasi di galeri berkenaan sudah hampir 95 peratus siap dan pemasangan lantai merupakan tugasan terakhir yang perlu dilakukan pasukannya.
Disebabkan sekatan pergerakan ketika PKP, Zari bersama lima pekerjanya memilih untuk bermalam di tapak projek bagi mengelakkan keperluan berulang-alik.
“Kami enam orang duduk situ saja, tidur di site. Ada satu malam tu kita buat finishing.
“Dalam galeri tu konsep dia pakai stiker. Lantai tu pakai stiker, lepas tu kita laminate dengan epoxy clear atas stiker,” katanya.
Zari berkata, ketika sedang menyiapkan lantai di bilik kedua galeri berkenaan pada kira-kira jam 11.00 malam, mereka menyedari kewujudan kelibat entiti yang sama di atas partition yang tergantung hingga ke siling.
Menurutnya, keadaan galeri yang malap pada waktu malam menyebabkan suasana menjadi lebih menyeramkan, walaupun bangunan tersebut mempunyai lampu dan penghawa dingin berpusat.
“Memang ada dekat situ. Sepanjang kita buat kerja, lama dia ada dekat situ. Kita cakap dengan dia, jangan pijak lantai tu.
“Janji jangan kacau lantai dia. Dah duduk, dia diam. Tak apa, diamlah,” katanya secara berseloroh.
Kelibat berkenaan bagaimanapun tidak mengganggu mereka secara fizikal dan hanya berada di situ ketika pasukannya meneruskan kerja.
Beliau berkata kedua-dua pengalaman tersebut menjadi antara kisah paling menyeramkan sepanjang hampir 18 tahun terlibat dalam kerja pemasangan lantai epoxy, terutama apabila tugasan perlu dilakukan pada waktu malam di lokasi yang sunyi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




