Lima tahun bangunkan produk epoxy, Zari lalui jatuh bangun sebelum dapat pelanggan pertama
KUALA LUMPUR – Keinginan menghasilkan produk Marble Effect Epoxy sendiri membawa Pro Applicator dan Epoxy Specialist, Wan Amirul Alfanzari atau lebih dikenali sebagai Zari, melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama lima tahun sebelum produknya benar-benar boleh digunakan pelanggan.
Menurut Zari, idea itu bermula selepas beliau cuba mendapatkan produk daripada sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS), namun diminta hadir ke negara berkenaan untuk menjalani latihan sebelum dibenarkan membeli produk tersebut.
“Dia kata kalau nak beli produk mereka, saya kena pergi ke US. Saya kena jalani training mereka, baru saya boleh beli. Sampai macam itu sekali,” katanya ketika muncul dalam podcast Macam Tulah terbitan Malaysia Tribune.
Ketika itu, Zari masih bekerja dengan sebuah syarikat multinasional (MNC) yang mempunyai kilang sendiri dan memberinya peluang bekerja bersama jurukimia. Daripada pengalaman itu, beliau berbincang dengan bekas majikannya sebelum mengambil keputusan membangunkan produk sendiri.
“Ex-boss saya nasihatkan, apa kata kita buka satu company baru dan kita develop sama-sama. Dari situ kita develop, buat fail produk itu untuk cuba dapatkan produk yang sama macam produk di US,” katanya.
Proses berkenaan bukan sesuatu yang singkat apabila beliau mengambil masa kira-kira lima tahun hanya untuk pembangunan produk, tanpa sebarang bantuan kerajaan.
Bagi membiayai R&D tersebut, Zari menggunakan sebahagian keuntungan daripada projek-projek yang diperolehnya untuk disalurkan semula kepada pembangunan produk.
“Dapat projek, saya allocate fund untuk R&D. Dapat projek, allocate fund. Sikit-sikit, sikit-sikit. Daripada situ dia bermula,” katanya.
Selepas lima tahun, produk itu akhirnya mula digunakan dalam skala kecil sebelum Zari menerima pelanggan pertamanya, sebuah kedai vape dengan keluasan kira-kira 1,000 kaki persegi.
Menariknya, pelanggan pertama itu tidak membuatkan Zari terus berasa lega atau terlalu gembira.
Sebaliknya, perkara pertama yang difikirkannya ialah kemungkinan berlakunya kecacatan pada produk yang baru dibangunkan itu.
“Saya tidak terlalu gembira. Saya cuma rasa macam, apa defect yang akan berlaku lagi? Kita nak mencari lagi. Sebab benda itu masih baru. Kalau produk ini adalah bayi, baru setahun,” katanya.
Perjalanan membina perniagaan itu juga bukanlah pengalaman pertama Zari berdepan kegagalan.
Zari dibesarkan dalam keluarga kontraktor, beliau mula mengenali bidang pembinaan sejak usia muda sebelum memulakan kerjaya sebagai penyelia tapak dan kemudiannya mengambil projek-projek kecil sendiri.
Bagaimanapun, ketika berusia sekitar 26 tahun, beliau mengakui perniagaannya jatuh kerana kurang pengalaman dan tidak mempunyai projek yang mencukupi, sehingga terpaksa menutup perniagaan sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan kembali bekerja dengan orang lain.
Daripada bekerja dengan syarikat perunding, kontraktor utama dan subkontraktor, Zari kemudiannya menyertai beberapa syarikat MNC termasuk syarikat dari Australia dan Singapura.
Pengalaman bersama syarikat Singapura yang terlibat dalam kerja lantai epoxy pula menjadi titik penting apabila beliau mula benar-benar jatuh cinta dengan bidang berkenaan.
Ketika berusia sekitar 40 tahun, beliau turut menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat Australia yang merupakan pesaing dalam bidang lain, namun memilih untuk menolaknya kerana mahu meneruskan perjalanan dalam bidang epoxy.
“Tawaran yang saya terima agak tinggi tinggi, tapi disebabkan rasa cinta saya terhadap epoxy itu, saya tak terima,” katanya.
Menurut Zari, keputusan untuk meninggalkan pekerjaan dan membina perniagaan sendiri turut didorong keluarga, khususnya keinginan untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada anak-anak selepas melalui pelbagai kesukaran sebelum itu.
“Kita dah biasa susah. Jadi kita rasa macam kita tak nak lagi hidup susah. Saya buat kerja ini, work hard and work smart,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




