Tun M tetap ziarah pusara Tun Hasmah meski lemah, tangan berjarum
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap menziarahi pusara isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Pusara Negara, Putrajaya hari ini, meskipun masih menjalani rawatan dan pemantauan di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam keadaan berkerusi roda, Tun Mahathir dilihat menabur bunga di atas pusara Allahyarhamah Siti Hasmah yang meninggal dunia pada 28 September lalu.
Menerusi beberapa gambar yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Tun Mahathir, beliau dilihat ditemani anak-anaknya iaitu Mirzan, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz ketika berada di pusara berkenaan.

Turut menarik perhatian ialah keadaan Tun Mahathir yang dilihat masih menggunakan alat bantuan oksigen pada hidung serta jarum pada lengan, menunjukkan beliau masih dalam proses pemulihan.
Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang tersentuh melihat kesetiaan beliau terhadap isterinya selepas lebih tujuh dekad mendirikan rumah tangga.
Seorang pengguna, Mukmin JJ menyifatkan hubungan pasangan negarawan itu sebagai lambang cinta yang begitu mendalam.
“Hebatnya cinta Tun M pada isteri,” tulisnya.
Pengguna lain turut menitipkan doa agar Dr Mahathir diberikan kekuatan dan kesihatan untuk melalui fasa kehilangan insan yang menemaninya sejak 1956.
“It’s okay to grieve, Tun. Take all the time you need. You’ll slowly heal with time,” tulis Almi Anang.
“Semoga sihat-sihat selalu Tun. Kami sayangkan Tun. Semoga dipermudah segala urusan Tun,” komen Wong Grace pula.
“Sayang Tun Dr Mahathir selalu. Semoga Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah dicucuri rahmat Allah SWT,” kata Nor Hafeza Osman.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada 28 September lalu pada usia 100 tahun dan jenazahnya diuruskan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu empat anak kandung dan tiga anak angkat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








