Kepelbagaian kepakaran ahli PPPR perkasa inisiatif Keep Malaysia Clean
GEORGETOWN – Kepelbagaian latar belakang, kepakaran dan pengalaman ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi antara kekuatan dalam menyokong membangunkan inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC).
Pengerusi PPPR, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, sumbangan setiap ahli panel sepanjang tempoh pembabitan mereka telah memberikan perspektif dan pengalaman berbeza yang penting dalam memperkayakan perbincangan serta menyokong usaha KMC.
“Harapan saya, dengan jaringan kerjasama yang telah kita bina bersama ahli-ahli panel, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua panel yang memainkan peranan masing-masing dalam memajukan KMC dan usaha-usaha pencegahan rasuah di negara ini,” katanya dalam ucapan aluan ketika mempengerusikan Mesyuarat PPPR Bil.3 Tahun 2026 di Hotel Royale Chulan, Pulau Pinang, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman selaku Ex-Officio PPPR SPRM, ahli-ahli panel PPPR dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Negeri SPRM.
Yasmin kemudiannya berkata, pelbagai pengalaman dan pandangan yang dikongsikan menjadi satu proses pembelajaran yang bermakna, selain membuka ruang untuk melihat sesuatu isu daripada sudut pandang yang lebih luas.
Katanya, mesyuarat itu juga memberi ruang kepada semua ahli panel berkongsi pandangan dan cadangan yang konstruktif bagi memperkukuhkan pelaksanaan program antirasuah yang berimpak tinggi, relevan serta memenuhi keperluan semasa.
Yasmin menambah, kewujudan dan kelangsungan KMC juga tidak dapat dipisahkan daripada peranan penting SPRM dalam menyokong serta menyelaras usaha berkenaan.
“KMC ini tidak akan ada tanpa peranan penting SPRM. Kita bekerja sebagai satu pasukan dan saya amat menghargai semangat setiakawan yang telah ditunjukkan sepanjang kita bersama,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada SPRM yang memberikan ruang kepada ahli panel untuk menyumbang idea dan pandangan dalam menjayakan agenda yang dibincangkan serta berharap usaha ini dapat diteruskan pada masa depan.
“Jika ada rezeki, kita akan meneruskannya pada masa depan. Apa yang penting, segala pengalaman yang kita lalui bersama ini akan menjadi sesuatu yang bermakna dan boleh dikenang,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut, turut diadakan pembentangan khas isu semasa oleh Bahagian Komunikasi Strategik, pembentangan Dapatan Kajian Pengaruh Media Sosial Terhadap Persepsi Rasuah di Malaysia oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat dan pembentangan oleh SPRM Pulau Pinang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








