SPRM tahan EXCO Terengganu disyaki salah guna kuasa lantikan anak ke GLC
KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri yang disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk melantik dua anaknya bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Suspek merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an, ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2018 dan 2020.
Lelaki yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi sebuah kawasan di negeri terbabit dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai EXCO serta Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat kerajaan negeri untuk mengarahkan anak-anaknya dilantik di dua anak syarikat kerajaan.
Tindakan itu didakwa mempunyai unsur salah guna kuasa dan kedudukan bagi kepentingan peribadi.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Suspek dijangka akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya ringkas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








