BERITA SEMASA

KPKT alu-alukan siasatan SPRM

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah penting bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.

KPKT dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen rasuah atau penyelewengan dalam proses perolehan atau pelaksanaan projek MyKiosk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“KPKT telah secara sukarela menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk kepada SPRM pada 22 Mei 2025. Tindakan ini mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan.

“KPKT turut memperkukuh budaya integriti dalaman melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat (Traffic Light System) dan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap PBT bagi memantau dan menilai prestasi integriti serta membasmi amalan rasuah di peringkat PBT,” katanya dalam kenyataan terseut, hari ini.

Terdahulu, SPRM memaklumkan sudah memulakan siasatan terhadap projek MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus dipetik sebagai berkata, siasatan dijalankan susulan aduan daripada sebuah parti politik yang mendakwa wujud amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan projek tersebut.

Inisiatif MyKiosk merupakan salah satu program di bawah KPKT yang bertujuan memperkasakan ekonomi peniaga kecil.

Kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan adalah sebanyak RM25,000 setiap unit.

Menurut KPKT, semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.

Sebanyak 795 kontraktor MyKiosk telah dilantik oleh PBT masing-masing di seluruh negara bagi tujuan pembelian dan penempatan MyKiosk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button