BERITA SEMASA

SPRM mulakan siasatan ke atas MyKiosk

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap projek MyKiosk bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, siasatan dibuat susulan aduan sebuah parti politik mengenai kewujudan amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaannya.

Jelas beliau, siasatan awal berhubung aduan itu dilaksanakan pihaknya dan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) secara serentak.

“Selain KPKT yang telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, beberapa pihak terlibat turut memberi beberapa dokumen berkaitan.

“SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender dalam siasatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Katanya lagi, SPRM juga akan meneliti keseluruhan proses tatakelola jika wujud kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur yang ditetapkan sambil menambah, siasatan dijalankan bawah Akta SPRM 2009.

Pada bulan lalu, Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM menggesa siasatan ke atas projek bernilai RM250 juta itu.

Ketuanya, Tan Jie Sen mendakwa, setiap unit kios tersebut melibatkan belanja sebanyak RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran bagi satu unit kios hanya RM12,800.

Beliau turut mendakwa, hanya lebih separuh kios digunakan.

Tampil menjawab dakwaan berkenaan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan sebagai berkata, angka RM25,000 itu mengelirukan kerana ia sudah termasuk kos panel solar, kipas, dapur, pengangkutan dan pemasangan.

Kor Ming menambah, dakwaan projek bawah kementeriannya itu menjadi ‘gajah putih’ adalah tidak benar dan tidak berasas.

KPKT juga secara sukarela sudah menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM, bagi memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan.

MyKiosk merupakan inisiatif KPKT yang bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.

Setakat Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk diluluskan di 133 pihak berkuasa tempatan seluruh negara bagi membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button