Harga runcit RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 20 sen
PUTRAJAYA – Harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.40 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.82 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.62 seliter, berkuat kuasa pukul 12 tengah malam ini.
Kenyataan itu menyebut, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu, yang menyaksikan harga minyak mentah Brent meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam minggu, iaitu sebanyak AS$96 (RM392.59) setong.
“Risiko terhadap laluan perdagangan utama, termasuk Selat Hormuz dan Laut Merah, turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.
“Selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam kenyataan sama, MoF turut memaklumkan simpanan kecemasan petroleum beberapa ekonomi utama dilaporkan semakin menyusut susulan konflik yang tercetus di Asia Barat pada 28 Februari 2026.
“Sekiranya gangguan bekalan berterusan, keperluan negara-negara tersebut untuk mengisi semula stok simpanan masing-masing berpotensi menambah tekanan terhadap harga petroleum dalam jangka sederhana.
“Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin dan bekalan bahan api negara kekal mencukupi manakala subsidi bersasar terus tersedia,” katanya lagi.
MoF turut memberitahu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan iaitu RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















