Kos haji 1447H kekal RM33,300, TH serap kenaikan kos bahan api
KUALA LUMPUR – Kos menunaikan haji bagi musim 1447H kekal pada RM33,300 meskipun berlaku peningkatan harga minyak dunia, dengan Tabung Haji (TH) mengambil langkah menyerap sebarang kenaikan kos terlibat.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, perkara itu dapat dilaksanakan hasil perjanjian sedia ada bersama syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines dan Saudi Airlines.
Menurutnya, perjanjian tersebut telah mengambil kira kemungkinan perubahan harga minyak yang memberi kesan kepada kos penerbangan.
“Kita telah mengambil kira peningkatan harga minyak dalam perjanjian sedia ada. Walaupun terdapat kenaikan kos, kos haji bagi musim 1447H kekal RM33,300 dan TH akan menyerap sebarang kenaikan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kos haji pada masa hadapan perlu disemak semula sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan dan terus memberi kesan kepada harga minyak global.
“Ia bergantung kepada tempoh dan kesan konflik tersebut, namun bagi tahun ini kos kekal seperti diumumkan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, perjanjian dengan kedua-dua syarikat penerbangan itu dimeterai untuk tempoh tiga tahun, membolehkan kos dikunci dalam julat tertentu lebih awal.
Menurutnya, walaupun terdapat klausa pelarasan jika kos melepasi paras tertentu, pengurusan berhemat setakat ini membolehkan kenaikan ditampung tanpa membebankan jemaah.
“Untuk tahun ini, jika ada peningkatan kos sekalipun, ia akan diserap dan tidak dipindahkan kepada jemaah. Kos yang diumumkan kekal tanpa perubahan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








