Krisis Asia Barat: Harga minyak berpotensi melonjak hingga AS$100 setong
KUALA LUMPUR – Ketegangan geopolitik di Asia Barat kembali menggoncang pasaran tenaga global apabila harga minyak mentah dijangka melonjak antara AS$90 (RM353) hingga AS$100 (RM392) setong susulan gangguan operasi di loji Ras Tanura milik Saudi Aramco di Arab Saudi.
Kemudahan strategik itu ditutup sementara semalam selepas dilaporkan menjadi sasaran serangan dron, dalam suasana serangan balas Tehran di seluruh rantau berkenaan sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, tempoh penutupan loji berkenaan menjadi penentu utama kepada hala tuju harga minyak mentah dalam masa terdekat.

Menurutnya, sekiranya operasi dapat dipulihkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam, kesannya dijangka minimum dengan harga minyak kembali stabil.
“Pengoperasian semula dalam tempoh itu hanya menyebabkan gangguan kecil kerana stok penampan di terminal Ju’aymah masih membolehkan eksport diteruskan.
“Premium risiko semasa sekitar AS$7 (RM27) setong juga dijangka menyusut, sekali gus mengembalikan harga minyak Brent ke julat AS$74 (RM290) hingga AS$76 (RM298) setong,” katanya memetik laporan Bernama.
Bagaimanapun, jika operasi tergendala sehingga seminggu, bekalan minyak global dijangka terjejas dengan inventori bahan api semakin terhad.
“Dalam situasi itu, ‘crack spreads’ iaitu perbezaan harga antara minyak mentah dan produk petroleum siap tapis akan meningkat apabila pembeli beralih kepada sumber alternatif.
“Harga minyak mentah Brent boleh meningkat kepada sekitar AS$82 (RM321) hingga AS$88 (RM345) setong berikutan kebimbangan penghantaran melalui Selat Hormuz,” katanya.
Mohd Sedek berkata, gangguan berlarutan sehingga sebulan pula berpotensi mendorong harga Brent mencecah AS$95 (RM373) hingga AS$100 (RM392) setong akibat tekanan bekalan yang semakin ketara.
“Arab Saudi mungkin perlu mengutamakan keperluan domestik dan mengehadkan eksport. Pada masa sama, keadaan ‘backwardation’ akan meningkat apabila permintaan semasa mengatasi bekalan, sekali gus memaksa negara pengguna utama di Asia menggunakan rizab strategik,” katanya.
Menurut beliau, gangguan melebihi sebulan boleh mencetuskan impak sistemik terhadap pasaran minyak global.
“Jika loji Ras Tanura terus tidak beroperasi dan laluan penghantaran melalui Selat Hormuz terhad, simpanan minyak akan cepat penuh sehingga memaksa penutupan sementara di medan minyak utama seperti Ghawar.
“Dalam senario terburuk, harga Brent boleh melonjak ke paras AS$120 (RM471) hingga AS$140 (RM549) setong sekali gus mencetuskan krisis keselamatan tenaga global dan menyaksikan permintaan merosot secara mendadak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, gangguan berpanjangan selama beberapa minggu akan menyebabkan kejutan bekalan yang lebih besar kepada pasaran global.

Beliau menegaskan, tempoh gangguan merupakan faktor paling kritikal dalam menentukan pergerakan harga dalam jangka pendek.
“Ras Tanura ialah antara kilang penapisan terbesar di Timur Tengah dengan kapasiti memproses kira-kira 550,000 tong sehari serta berfungsi sebagai terminal eksport utama minyak mentah Saudi.
“Sebarang penutupan walaupun sementara akan meningkatkan premium risiko, terutama jika terdapat kebimbangan serangan susulan dan isu keselamatan penghantaran minyak di rantau ini,” katanya.
Menurut Barjoyai, sekiranya ketegangan berterusan dan gangguan operasi berlarutan, harga minyak berpotensi melepasi paras AS$90 (RM353) setong walaupun loji kembali beroperasi dalam masa singkat.
“Psikologi pasaran juga memainkan peranan besar. Jika Ras Tanura boleh menjadi sasaran, peniaga akan menganggap kemudahan lain juga berisiko.
“Sentimen semata-mata sudah cukup untuk melonjakkan harga Brent ke atas paras AS$90 (RM353) walaupun tanpa gangguan fizikal yang besar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








