Dakwaan harga minyak hanya naik di Malaysia dangkal – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyelar kenyataan segelintir pihak yang mendakwa harga minyak hanya meningkat di Malaysia, dengan menyifatkannya sebagai pandangan dangkal dan mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, terdapat individu termasuk golongan berpengaruh yang mengeluarkan kenyataan sedemikian sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Ada ulama terkenal yang mempunyai ramai pengikut memberi pandangan mengatakan minyak tidak naik di peringkat global, hanya di Malaysia sahaja naik.
“Itu fahaman kedangkalan ilmu yang ketara, tetapi diselubungi fahaman agama menyebabkan orang agak percaya, namun ia tidak membantu malah mengelirukan,” katanya amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Anwar berkata, kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang dipengaruhi pelbagai faktor termasuk konflik geopolitik dan kos logistik, bukannya isu terpencil yang hanya berlaku dalam negara.
“Kegagalan memahami konteks sebenar boleh menyebabkan rakyat membuat penilaian tidak tepat terhadap dasar dan langkah kerajaan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan pandangan, khususnya melibatkan isu ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Beliau turut berkata, penyebaran maklumat tidak tepat bukan sahaja menjejaskan kefahaman awam, malah boleh mengganggu usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















